KUALA LUMPUR – Seorang pekerja pusat snuker dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana menyembunyikan wang RM3,000 milik seorang juruteknik yang mahu membeli sebuah kereta.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Jacob Moga, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Muhammad Jacob didakwa menyembunyikan atau memindahkan harta milik Mohd Asrol Alias, 33, iaitu wang masing-masing RM1,000 dan RM2,000 melalui akaun Maybanknya sehingga mangsa mengalami kerugian RM3,000.
Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Bukit Pandan, Jalan Bukit Pandan, di sini, pada 3.52 petang dan 10.09 malam, 24 Jan 2017 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa telah melayari laman web Mudah.my dan tertarik untuk membeli sebuah kereta Perodua Kelisa berharga RM7,888 yang diiklankan di dalam laman web berkenaan.
Mangsa kemudian menghubungi nombor yang tertera dan diberitahu oleh seorang lelaki untuk memasukkan wang RM1,000 sebagai bayaran pendahuluan lalu mangsa membuat pembayaran melalui transaksi dalam talian.
Pada malam hari sama, lelaki tersebut telah menghubungi mangsa memaklumkan bahawa mangsa perlu membuat pembayaran lagi sebanyak RM4,000 namun mangsa hanya memasukkan RM2,000 ke dalam akaun sama yang diberikan lelaki tersebut.
Lelaki itu juga memaklumkan mangsa boleh mengambil kereta yang mahu dibelinya di sebuah kedai kereta di Jalan Klang Lama namun keesokannya ketika mangsa pergi ke alamat yang diberi, kedai tersebut tidak wujud dan mangsa menyedari dia telah ditipu kemudian membuat laporan polis.
Hasil siasatan polis mendapati lelaki tersebut adalah tertuduh dan mangsa telah memasukkan wangnya ke dalam akaun tertuduh.
Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menyara isteri dan tiga anak manakala Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan menyembunyikan wang kerap berlaku menyebabkan mangsa mengalami kerugian. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…

