SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri hari ini adalah ketentuan Allah SWT selepas berdepan pelbagai tohmahan selama berpuluh tahun.
Menurut Anwar, dulu beliau diterajang dan terlempar di Penjara Sungai Buloh, malah harapan untuknya amat tipis ketika itu, tetapi akhirnya takdir Allah SWT yang menentukan.
“Saya dengar macam-macam tohmahan dah puluhan tahun hambun saya… Sekarang masa Allah takdirkan. Bayangkan 20 tahun dulu kena terajang, terlempar di Penjara Sungai Buloh. Harapan tipis sekali.
“Allah takdirkan kita di sini bukan untuk cari harta, bukan nak cari bongkak, bukan nak rebut apa? Dah jadi Perdana Menteri, jalankan kerja sebaik mungkin,” katanya pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar mengakui beliau kadangkala berasa kecewa apabila perdebatan politik lebih tertumpu kepada usaha menjatuhkan lawan berbanding membincangkan nasib rakyat.
Menurutnya, isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah kesukaran hidup rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
“Cakap bela rakyat, cakap jaga rakyat, cakap perpaduan, (tapi) tiada kerja khianat, jatuhkan. Saya tak dengar bila nak jaga rakyat betul-betul.
“Kamu peduli tak bagaimana rakyat nak makan, ada atau tidak. Kamu tahu tak berapa susah sebagai rakyat. Kamu tahukah gaji nak naik RM40 bagaimana susah. Menyampah aku tengok,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan yang dipimpinnya tidak mempunyai kuasa mutlak, Kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha mencari titik persamaan melalui rundingan dan kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan.
Anwar berkata, pendekatan tolak ansur dan kestabilan politik yang diamalkan kerajaan hari ini berjaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
Menurutnya, Malaysia kini menjadi antara destinasi utama pelaburan di rantau ini, sekali gus memacu pembangunan di beberapa negeri termasuk Johor dan Negeri Sembilan.
“Saya lakukan dengan sebaik, mungkin ‘not perfect’, banyak masalah tapi ‘we listen’, kita compromise. Kadang-kadang saya tak setuju, tak apalah, nak jaga Kerajaan Perpaduan ini. Kita sabar sebab apa? Sebab politik yang stabil ini menyebabkan pelabur datang.
“Malaysia sekarang ketimbang negara-negara jiran, pelabur paling banyak ke Malaysia. Johor, Negeri Sembilan itu melonjak pembangunannya kerana politik stabil.
“Tak ada rebut. Tak ada terajang kawan-kawan. Tak ada nak tebuk atap. Tak ada nak rampas kuasa sebelum tempoh. Paksa ada pilihan raya awal,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan dibina atas semangat kerjasama tanpa mengira latar belakang politik demi kepentingan rakyat.
“Saya bukan nak bermusuh dengan sesiapa. Mesyuarat saya pengerusikan sebagai Perdana Menter di sebelah kanan saya Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO. Semua ada. Kita bekerja seperti biasa.Sebab apa? Sebab kita cinta kepada negara ini. Cinta kepada negara ini, kasih kepada rakyat.
“Tak bolehkah kasih kepada mereka? Tak bolehkah jaga mereka? Nak tamak, nak ambil gopoh, angkut untuk diri kita saja. Nak kaya setakat mana? Saya nak tanya, kaya-kaya bila nak cukup? Mentekedarah harta rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


