KUALA LUMPUR – Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menyambut ulang tahun ke-15 hari ini seiring dengan 15 tahun kecemerlangannya dalam pendidikan, kata presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Peristiwa penting itu memberi signifikan besar kepada mereka yang bekerja keras untuk merealisasikan wawasan itu menjadi kenyataan. Bersesuaian dengan ini, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada presiden UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik…Saya berasa amat gembira untuk melihat beliau masih menyumbang kepada universiti dan mengetuai beberapa projek amal.
“Tun Dr Ling memainkian peranan penting dalam penubuhan UTAR,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis sambutan ulang tahun ke-15 UTAR yang diadakan di kampusnya di Sungai Long, dekat sini hari ini.
Turut hadir ialah canselor UTAR, Dr Ling dan presiden UTAR Datuk Dr Chuah Hean Teik.
Liow berkata UTAR kini dianggap sebagai antara universiti terkemuka di Malaysia dengan seramai 26,000 pelajar yang mendaftar masuk ke universiti itu, peningkatan ketara daripada pengambilan awal sebanyak 411 pelajar pada 2002.
“UTAR disenaraikan dalam ranking 120 universiti terbaik oleh Times Higher Education Asia University Rankings 2017 dan berada dalam kedudukan 150 universiti terbaik oleh Times Higher Education Young University Rankings 2017.
Selain itu, UTAR juga telah dianugerahkan status akreditasi sendiri oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pendidikan Tinggi awal tahun ini,” kata Liow.
Sejak 2005, UTAR mempunyai dua kampus tetap iaitu di Kampar, Perak dan di Sungai Long, Selangor, kata beliau.
Liow berkata MCA akan terus memberi sokongan kepada UTAR bagi menyediakan pendidikan tinggi yabng berkualiti dan mampu kerana parti tersebut mempunyai pandangan yang sama dengan universiti untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara dalam penyediaan pendidikan berkualiti untuk golongan belia ke arah memenuhi keperluan sumber manusia negara.
Beliau berharap UTAR akan terus berkembang dan menjadi universiti terkemuka setanding dengan universiti terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

