KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan jawapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mendakwa tidak mempunyai maklumat mahupun hubungan secara langsung berhubung perjanjian pemindahan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.
Beliau membangkitkan persoalan bagaimana kementerian itu boleh mendapatkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sedangkan pada masa sama menyatakan tidak mempunyai maklumat mengenai urusan atau terma perjanjian berkenaan.
“Menurut jawapan yang diterima, KPKT tidak mempunyai maklumat mahupun hubungan secara langsung berhubung perkara, urusan atau terma perjanjian pemindahan gajah ini.
“Kata tiada maklumat, tetapi boleh pula mendapatkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT)?” soalnya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, beliau telah menerima jawapan terhadap soalan khusus yang dikemukakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung perjanjian selama 25 tahun antara MPT dengan Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menurutnya, jawapan kementerian itu turut memetik maklumat daripada MPT bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan sedang meneliti perjanjian pemindahan tiga gajah Asia tersebut.
“…berdasarkan maklumat daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pihak Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan sedang meneliti Perjanjian Pemindahan Tiga Ekor Gajah Asia (DAK) ke Tennoji Zoo Osaka, Jepun…” katanya memetik jawapan berkenaan.
Ka Siong turut mempersoalkan tindakan mengklasifikasikan dokumen perjanjian tersebut sebagai SULIT yang menurutnya hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai urusan pemindahan tiga gajah berkenaan.
“Sudah tentu, dokumen perjanjian yang telah diklasifikasikan sebagai SULIT itu menimbulkan lebih banyak persoalan,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat, khususnya pencinta haiwan, mempunyai harapan tinggi agar isu melibatkan Dara, Amoi dan Kelat dapat diselesaikan secara adil dan telus.
“Rakyat, terutama pencinta haiwan, pastinya menaruh harapan yang tinggi berhubung isu DAK ini. Kita bukan sahaja menuntut keadilan, tetapi juga berharap isu ini diselesaikan secara telus,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


