BAGAN DATOH – Rakyat di negara ini seharusnya bersyukur kerana dapat menyambut pelbagai perayaan dalam suasana harmoni, aman damai dan saling hormat-menghormati, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata berbanding negara luar yang sering mengalami pergolakan dan huru-hara serta keadaan kehidupan rakyat yang amat sukar, apatah lagi untuk menyambut sesuatu perayaan.
“Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama,” katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Perak di sini, hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut yang turut dihadiri Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh.
Zambry berkata keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini adalah hasil toleransi dan persefahaman antara kaum yang telah dipelopori sejak berdekad lamanya.
“Janganlah kita mengejar fatamorgana sehingga terlupa kepada nikmat yang dikecapi hari ini,” katanya.
Zambry berkata masyarakat India di negeri ini banyak menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan sejak sekian lama.
“Pelbagai kejayaan yang telah dikecapi dan nikmati selama ini. Justeru itu, saya menggesa masyarakat India mempertingkat kecemerlangan serta menjadikan kejayaan tersebut sebagai inspirasi dan aspirasi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi serta memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan kaum India seperti yang dilaksanakan selama ini.
Sebanyak 5,000 pengunjung dari pelbagai kaum dan latar belakang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut.
Pengunjung disajikan dengan pelbagai hidangan termasuk roti canai, capati, tose dan sate selain dihiburkan dengan persembahan tarian serta nyanyian masyarakat Malaysia. – BERNAMA

