PUTRAJAYA – Semua sekolah di Pahang dan kawasan Tanjung Malim, Perak diarah ditutup pada Isnin berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU tidak sihat.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan terbaharunya di sini memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan sehingga pukul 4 petang Ahad.
Pihak kementerian tersebut mendapati terdapat beberapa kawasan atau daerah lagi yang menunjukkan bacaan IPU sebagai tidak sihat.
Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, setakat pukul 4 petang, Jerantut, Pahang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat 119, manakala Tanjung Malim, Perak pada paras 150.
Terdahulu, pada sebelah pagi KPM mengumumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak diarah ditutup.
Menurutnya, ia berikutan negeri dan bahagian terbabit mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat (201-300) dan tidak sihat (101-200) pada Ahad.
Sehubungan itu, pihak jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah bagi negeri dan bahagian terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai penutupan itu dengan kadar segera. – BERNAMA

