SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak menghadiri perjumpaan khas melibatkan 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, malam tadi.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjumpaan itu melibatkan 22 daripada keseluruhan 25 ADUN BN dan PN negeri berkenaan.
Menurut beliau, selain Ismail, dua lagi ADUN tidak dapat menghadiri perjumpaan tersebut kerana berada di luar negara.
Bagaimanapun, kedua-dua ADUN terbabit telah menyatakan sokongan penuh terhadap apa jua keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan.
Mohamad berkata, kesemua ADUN yang menghadiri perjumpaan khas itu mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh terhadap sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti masing-masing.
“Dalam perjumpaan khas ini, kesemua ADUN telah mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk ADUN-ADUN daripada Parti Perikatan Nasional.
“Ini bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 20 November 2026.
Perjumpaan khas itu diadakan ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut politik berkaitan kepimpinan kerajaan negeri. – MYNEWSHUB


