JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memutuskan pembukaan semula institusi pendidikan di negeri ini dilaksanakan secara berfasa mulai esok bagi memastikan kelancaran peperiksaan susulan situasi jerebu yang melanda negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pihaknya menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Johor, khususnya anak-anak yang sedang mengikuti sesi persekolahan.
Menurut beliau, bagi fasa pertama pada 26 dan 27 Oktober 2026 (Isnin dan Selasa), kehadiran ke sekolah dihadkan kepada murid yang perlu menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, tempoh berkenaan memberi ruang kepada pihak pentadbiran sekolah dan guru membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA)
“Fasa kedua akan bermula pada 28 Oktober 2026 (Rabu), dengan semua sekolah di seluruh Johor dijadualkan beroperasi sepenuhnya seperti biasa, tertakluk kepada perkembangan semasa kualiti udara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Muhammad Naqib berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaras pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan.
Jelas beliau, langkah berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) semasa dan garis panduan yang berkuat kuasa.
“Kerajaan Johor bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan bagi memastikan sebarang tindakan lanjut dapat dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan semasa,” katanya. – MYNEWSHUB




