JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memutuskan semua institusi pendidikan di seluruh negeri itu akan beroperasi semula mulai Isnin, 26 Oktober 2026 susulan trend penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak lima hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan mengambil kira perkembangan situasi jerebu serta penilaian agensi berkaitan.
Menurutnya, perubahan arah angin mulai 24 Oktober, peningkatan kelembapan serta jangkaan hujan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu di negeri itu.
“Keputusan ini mengambil kira trend penurunan bacaan IPU di seluruh Johor sejak lima hari lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara.
Katanya, pembukaan semula institusi pendidikan juga mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan termasuk pemakaian pelitup muka.
Pemantauan aktiviti persekolahan juga akan dilaksanakan berdasarkan bacaan IPU semasa dan garis panduan yang berkuat kuasa.
Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan.
Sebarang perubahan atau tindakan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.
Beliau menegaskan kerajaan negeri kekal komited memastikan keselamatan dan kesihatan warga sekolah menjadi keutamaan di samping menjamin kesinambungan pendidikan anak-anak Johor. – MYNEWSHUB


