JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM5,000 bagi setiap kesalahan terhadap tiga individu dalam kes ajaran sesat yang dikenali sebagai ‘Ratu Balqis’
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Menurutnya, tertuduh pertama didakwa mengikut Seksyen 4 kerana menyebarkan doktrin palsu dan Seksyen 6(b) berkaitan dakwaan palsu.
Dua lagi tertuduh masing-masing didakwa bersubahat mengikut Seksyen 43(b) dan Seksyen 43(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997.
“Kesemua tertuduh telah mengaku salah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan serta denda RM5,000 bagi setiap kesalahan, dengan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fared berkata, kes berkenaan memperlihatkan keseriusan kesalahan penyebaran doktrin dan dakwaan palsu, khususnya yang melibatkan kedudukan Rasulullah SAW serta pelaksanaan ibadah sehingga boleh mengelirukan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkuasa agama Johor akan terus memperkukuh usaha dakwah, pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan akidah.
Katanya, tindakan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat berdasarkan undang-undang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, masyarakat dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kandungan agama yang disebarkan menerusi media sosial dan memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi.
Orang ramai juga diminta mengelakkan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya‘irah dan al-Maturidiah.
Sebarang aktiviti penyebaran ajaran meragukan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa agama bagi memelihara kesucian akidah umat Islam di Johor. – MYNEWSHUB


