JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon sokongan dan kepercayaan rakyat Johor untuk terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat diteruskan.
Beliau berkata, sepanjang lebih empat tahun pentadbiran kerajaan negeri, Johor merekodkan pelbagai pencapaian membanggakan termasuk pelaburan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025.
Tambah beliau, pentadbiran BN Johor juga mencipta peluang pekerjaan baharu, pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Bagaimanapun, Onn Hafiz menegaskan usaha membangunkan negeri ini masih belum selesai kerana masih banyak agenda yang perlu dilaksanakan.
“Bagi memastikan setiap daerah terus menerima limpahan pembangunan, lebih banyak peluang diwujudkan untuk anak-anak Johor serta manfaat kemajuan negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor supaya keluar mengundi pada PRN Johor Ke-16 dengan menyifatkan setiap undi amat penting dalam menentukan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau turut mengingatkan pengundi bahawa proses Undi Awal akan berlangsung pada 7 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai dan berharap sokongan diterjemahkan untuk calon BN Johor. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


