MELAKA – Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa pembayaran denda RM50 juta oleh UMNO bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16)
Memetik laporan media, Poay Tiong dilaporkan sebagai mendakwa konon tindakan UMNO membayar RM50 juta bagi membolehkan Najib pulang ke rumah menimbulkan kemarahan rakyat.
“Pada tahun 2018, disebabkan oleh (isu) 1MDB, disebabkan oleh Najib, itulah sebabnya mereka menumbangkan kerajaan BN. Jadi ini sudah sangat jelas bahawa UMNO sangat angkuh.
“Mereka merasakan bahawa mereka tidak menghiraukan, mereka tidak ambil peduli tentang perasaan rakyat,” dakwanya seperti dilaporkan media.
Sehubungan itu, Poay Tiong mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi pilihan untuk rakyat memberitahu UMNO mereka tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan.
“Sejak dua hari lalu, ketika turun padang, rata-rata masyarakat daripada pelbagai latar belakang menyuarakan ketidakpuasan hati dan kekecewaan terhadap pembayaran RM50 juta itu,” dakwanya.
Untuk rekod, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak pada 18 September lalu bagi membolehkan orang ramai menyumbang secara sukarela untuk membantu Najib melunaskan denda RM50 juta.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Huan Cheng Guan mendedahkan beliau dimaklumkan UMNO berjaya mengumpul lebih RM52 juta menerusi sumbangan orang ramai.
“Saya dimaklumkan UMNO berjaya mengumpul lebih RM52 juta, dengan sumbangan serendah 50 sen, RM1, RM5, RM10, RM20, RM50, RM100 dan seterusnya.
“Ini menunjukkan betapa kuatnya sokongan terhadap DS Najib, yang dikatakan datang daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, golongan kaya, pertengahan, malah yang kurang berkemampuan,” katanya. – MYNEWSHUB


