JOHOR BAHRU – Johor sekali lagi mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dari segi jumlah pelaburan diluluskan apabila mencatatkan RM99.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, pencapaian itu berdasarkan pengumuman rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Menurutnya, Johor sebelum ini mencipta sejarah apabila merekodkan RM110 bilion pelaburan diluluskan sepanjang 2025, jumlah tertinggi pernah dicatatkan negeri itu.
“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026 sahaja, kita telah menghampiri angka RM100 bilion, mencapai sasaran pelaburan tahunan yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap Johor kekal kukuh meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan, inflasi dan peningkatan kos operasi.
Daripada RM99.7 bilion itu, sebanyak RM68.3 bilion membabitkan sektor perkhidmatan manakala RM31.2 bilion dalam sektor pembuatan.
Menurut Ting Han, Johor turut membangunkan ekosistem industri strategik merangkumi pusat data, ekonomi digital, aeroangkasa, peranti perubatan, petrokimia, semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), logistik serta tenaga boleh baharu.
Katanya, kepelbagaian sektor berkenaan membolehkan Johor membina ekonomi yang lebih seimbang, kukuh dan berdaya tahan.
Beliau turut memaklumkan Johor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi negara selama dua tahun berturut-turut, iaitu 6.5 peratus pada 2024 dan 8.0 peratus pada 2025.
Bagaimanapun, Ting Han menegaskan kejayaan sebenar bukan sekadar jumlah pelaburan diluluskan, sebaliknya memastikan projek berkenaan direalisasikan sehingga mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
“Kita mahu anak Johor bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan negeri, tetapi menjadi peserta, penyumbang dan penerima manfaat utama daripada kemajuan tersebut,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lee Ting Han


