JOHOR BAHRU – Seluruh Bangsa Johor diharap dapat membezakan antara kaca dan bermata ketika berdepan dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang timbul dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, rakyat Johor juga diharap dapat membezakan antara janji bulan dan bintang dengan pencapaian sebenar kerajaan BN Johor.
“Kepada Bangsa Johor, saya percaya kita dapat bezakan antara kaca dan permata dan akan menolak segala tohmahan, fitnah dan juga janji bulan dan bintang yang dibuat oleh mereka.
“Semoga Bangsa Johor akan membuat keputusan yang tepat pada 11 Julai (hari mengundi) nanti,” katanya menerusi satu rakaman video di media sosial hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata, kempen PRN Johor akan bermula secara rasmi bermula esok, tetapi kempen secara agresif telah pun dilancarkan oleh pihak lawan sejak 16 Mei lalu.
Menurutnya, mereka bertindak demikian sejak beliau mengumumkan BN akan bertanding di kesemua 56 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Kalau kita lihat, sebenarnya tohmahan, fitnah dan juga janji bulan bintang yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab telah bermula seawal 16 Mei.
“Oleh kerana saya telah mengumumkan bahawa BN akan bertanding secara solo, maka mereka telah bermula kempen secara aggresif,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


