KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh calon dan jentera Pakatan Harapan (PH) bekerja keras meraih kepercayaan rakyat serta melawan fitnah dan hasutan perkauman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, usaha menangani perkara itu perlu dilakukan dengan membuktikan pencapaian serta khidmat bakti kepada rakyat.
“Ayuh seluruh calon dan jentera Pakatan Harapan, galas amanah dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dengan kerja keras.
“Raih kepercayaan rakyat dan lawan fitnah serta hasutan perkauman dengan pencapaian dan bakti kita kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar yang juga Pengerusi PH turut berharap keikhlasan dan kesungguhan seluruh jentera gabungan itu mampu mencipta sejarah baharu di Melaka.
Menurutnya, usaha berkenaan juga perlu menjadi pemangkin kepada pembaharuan demi masa depan rakyat yang lebih baik.
“Mudah-mudahan keikhlasan dan kesungguhan kita mampu mencipta sejarah di bumi Melaka serta menggerakkan pembaharuan demi masa depan yang lebih adil, makmur dan bermaruah,” katanya.
Beliau turut menyertakan tanda pagar #UndiHarapan dan #MelakaRumahKita dalam hantaran berkenaan. – MYNEWSHUB


