MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau semua aktiviti calon yang bertanding sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon yang membayar deposit bahan kempen perlu mematuhi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan berkaitan pemasangan dan pengedaran bahan kempen termasuk gambar calon, lambang parti serta pemimpin parti.
Menurutnya, bahan kempen seperti iklan, risalah, brosur, sepanduk, pelekat dan papan iklan perlu memaparkan nama serta alamat pencetak dan penerbit, kecuali bendera, poster simbol parti serta gambar pemimpin parti atau calon.
Beliau menegaskan, bahan kempen berunsur perkauman, menyentuh sensitiviti agama, mengembangkan perasaan jahat atau mengandungi hasutan yang boleh mencetuskan permusuhan adalah dilarang.
Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan 24 jam bermula 31 Oktober hingga 14 November 2026 di Pejabat SPRM Melaka, Jalan Alai Perdana, Taman Alai.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi talian 06-2896303 atau 06-2896000, WhatsApp 011-26791569 serta e-mel prnmlk@sprm.gov.my.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Komunikasi mengoperasikan Pusat Media PRN Melaka di Hotel Mudzaffar, MITC Ayer Keroh, mulai 30 Oktober hingga 14 November, dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut diaktifkan sebagai pusat media sokongan dari jam 9 pagi hingga 6 petang, menyediakan ruang kerja dan internet berkelajuan tinggi kepada pengamal media.
Ramlan turut mengingatkan semua pihak supaya berkempen secara harmoni serta mematuhi undang-undang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas pilihan raya, agensi kerajaan, polis dan pihak media atas kerjasama sepanjang proses pilihan raya. – MYNEWSHUB


