JOHOR BAHRU – Pempengaruh media sosial yang sering mengulas isu politik, Eric Lim Sian See berpandangan Johor yang mencatatkan prestasi memberangsangkan sejak ditadbir Barisan Nasional (BN) dengan dominasi penuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 tidak perlu diubah.
Menurut beliau, kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz berjaya mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran tanpa berdepan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut juga, Johor tidak menyaksikan sebarang isu melibatkan sentimen 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang mencetuskan ketegangan, selain tiada skandal rasuah besar yang dilaporkan membabitkan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, kedudukan kewangan Johor juga semakin kukuh apabila berjaya beralih daripada keadaan defisit kepada lebihan, sekali gus membolehkan kerajaan negeri meningkatkan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kebajikan kepada rakyat.
“Jadi apa sebabnya kerajaan BN Johor perlu ditukar? Kalau negeri sudah stabil, kewangan makin kukuh, bantuan rakyat bertambah, ekonomi bergerak dan pelaburan masuk tinggi, lebih baik teruskan kerajaan yang sudah terbukti berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam aspek ekonomi, Eric Lim berkata, Johor merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terpantas di Malaysia, selain mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi di negara ini.
Menurutnya, pelaburan berjumlah RM110 bilion yang direkodkan pada tahun 2025 merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah yang pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.
Beliau juga menegaskan bahawa Johor muncul sebagai negeri kedua tertinggi mencipta pekerjaan baharu sejak 2022, dengan sebanyak 352,200 peluang pekerjaan diwujudkan antara suku pertama 2022 hingga suku pertama 2026, mewakili pertumbuhan sebanyak 19.8 peratus.
“Pertumbuhan gaji sektor formal dan pendapatan isi rumah median Johor juga antara yang kedua tertinggi dalam kalangan negeri-negeri utama di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Eric mempersoalkan keperluan untuk menukar kerajaan Johor sambil menegaskan bahawa Johor memerlukan kesinambungan kestabilan bagi memastikan momentum pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See


