KUALA LUMPUR – “Ada orang tanya aku, kenapa Dato’ Sri Najib dah bayar denda pun masih tak boleh balik rumah? Aku jawab mudah saja. Kerajaan hari ini memang banyak benda pelik. Dasar berubah-ubah, pendirian pun ikut keadaan.”
Demikian sindiran Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, susulan penangguhan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Menerusi hantaran di media, beliau antaranya membangkitkan tujuh perkara yang menurutnya memperlihatkan kepelikan yang terdapat dalam kerajaan hari ini.
Pertama, beliau membangkitkan perubahan kuota subsidi minyak daripada 300 liter kepada 200 liter sebelum kembali kepada 300 liter sehingga mengelirukan rakyat.
Kedua, Sollehin menyindir pendirian terdahulu bahawa Perdana Menteri tidak wajar merangkap Menteri Kewangan, namun kedua-dua jawatan itu kini disandang individu sama.
Ketiga, beliau mendakwa pihak yang dahulu memperjuangkan kebebasan bersuara kini mengambil tindakan terhadap pengkritik kerajaan, selain menyebut dakwaan sekatan capaian atau ‘shadow banned’.
Keempat, beliau membandingkan reaksi terhadap Barisan Nasional (BN) apabila enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dengan pendirian berbeza GPS yang menurutnya boleh pula dihormati.
Kelima, beliau mengungkit janji pendidikan percuma berkaitan PTPTN, sambil menyindir bahawa tokoh yang memperjuangkannya kini menjadi Timbalan Menteri tetapi janji itu belum terlaksana.
Keenam, Sollehin mempersoalkan janji menghapuskan tol lebuh raya secara berperingkat sedangkan rakyat masih membayar tol.
Ketujuh, beliau membangkitkan janji menghentikan pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun mendakwa ahli politik masih dilantik.
“Kalau orang lain buat, salah. Kalau sendiri buat, seribu satu alasan,” katanya.
Beliau turut menyindir bahawa dalam politik hari ini, prinsip dan janji boleh berubah asalkan kuasa tidak terlepas. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohammad Sollehin


