KUALA LUMPUR – PAS menggesa kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara (AGC), memberikan penjelasan tuntas berhubung kelewatan pelaksanaan titah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengampunan berkenaan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hampir dua bulan lalu.
Menurutnya, berdasarkan siaran media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU-JPM) pada 18 September lalu, Najib diperkenankan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
“Pentakrifan biasa undang-undang dan juga pemahaman awam daripada perkara di atas adalah jelas bahawa setelah pembayaran denda sejumlah Lima Puluh Juta Ringgit diselesaikan maka Dato’ Sri Mohd Najib bolehlah menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, isu dua interpretasi yang dikatakan perlu diteliti AGC antara titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong dengan perintah pelepasan selepas pembayaran denda oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya tidak lagi berbangkit.
Katanya, sekiranya perkara itu berkaitan penolakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB pada 14 Oktober lalu, AGC sepatutnya mendapatkan penjelasan mahkamah pada tarikh berkenaan.
“Bukannya setelah pihak pempetisyen bersusah payah mendapat dana kewangan bagi melangsaikan denda yang dikenakan ke atasnya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pelaksanaan hukuman berkenaan dilihat seolah-olah sengaja dilewatkan.
“Justeru pihak kerajaan khususnya Jabatan Peguam Negara sebagai penjaga kepentingan awam perlu memberikan penjelasan yang jelas tanpa berselindung kepada awam kenapakah pelaksanaan hukuman tersebut kelihatan dilewat-lewatkan,” katanya.
Takiyuddin turut mengingatkan prinsip undang-undang bahawa keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan dan perlu ditegakkan demi semua pihak yang terkesan dengan sesuatu hukuman. – MYNEWSHUB


