JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tidak hanya bergantung kepada laporan pegawai, sebaliknya kerap turun padang melakukan lawatan mengejut pada waktu subuh dan waktu puncak bagi meninjau sendiri isu yang dihadapi rakyat.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Muar, Norisam Sahidan menerusi satu nukilan di media sosial yang mengupas pendekatan pentadbiran Menteri Besar Johor sejak memegang jawatan pada Mac 2022.
Menurut beliau, antara perkara yang paling menyerlah ialah komitmen peribadi Onn Hafiz dalam menangani kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru.
“Beliau kerap melakukan lawatan mengejut pada waktu subuh atau waktu puncak untuk melihat sendiri operasi imigresen.
“Walaupun perkara itu boleh diserahkan kepada agensi berkaitan dan pegawai yang dipertanggungjawabkan, beliau tetap turun sendiri kerana merasakan ia sebahagian daripada tanggungjawab seorang pemimpin,” katanya.
Norisam berkata, hasil pendekatan tersebut pelbagai penambahbaikan berjaya dilaksanakan termasuk penambahan kaunter pemeriksaan, pengaktifan laluan kontra, penggunaan sistem kod QR serta penaiktarafan kemudahan di pintu masuk negara.
Selain pendekatan turun padang, beliau turut menyifatkan Onn Hafiz sebagai pemimpin yang memberi penekanan terhadap pelaksanaan dasar dan kecekapan sistem penyampaian kerajaan negeri.
Katanya, antara pencapaian penting pentadbiran Johor ketika ini ialah pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan Zon Kewangan Khas Forest City, agenda Maju Johor 2030, kempen Johor Bersih dan Johor Selamat serta pelbagai inisiatif perumahan mampu milik.
Dalam masa sama, beliau berkata daerah Muar turut menerima limpahan pembangunan menerusi projek mega Maharani Energy Gateway (MEG) yang dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau, logistik maritim dan teknologi.
“Secara ilmiahnya, saya melihat idea-idea Onn Hafiz banyak memfokuskan kepada kecekapan tadbir urus dan pelaksanaan.
“Beliau bukan sekadar merancang dasar di atas kertas, tetapi memastikan sistem penyampaian kerajaan negeri bergerak pantas selari dengan kehendak rakyat dan pelabur,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Norisam Sahidan


