KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di bawah seliaannya supaya memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokasi masing-masing susulan perkembangan semasa kualiti udara.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat situasi kualiti udara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga IPT terus terpelihara.
Menurut kementerian itu, pengurusan IPT di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 201 diberikan autonomi untuk menentukan mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang bersesuaian.
Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kesihatan dalam kalangan warga kampus, pada masa sama memastikan proses pembelajaran mahasiswa dapat diteruskan.
“Aktiviti luar turut perlu dinilai dan disesuaikan berdasarkan bacaan IPU semasa,” menurut kenyataan itu.
KPT turut mengingatkan warga IPT supaya merujuk maklumat rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung perkembangan kualiti udara serta mematuhi panduan pengurusan yang ditetapkan oleh IPT masing-masing.
Kementerian berkata, pemantauan akan diteruskan dan pendekatan pengoperasian IPT akan disesuaikan mengikut keadaan semasa demi menjaga kesihatan, kesejahteraan serta kebajikan seluruh warga institusi berkenaan. – MYNEWSHUB


