JOHOR BAHRU – Perkongsian carta “Wall of Champions” Juara Piala AFC oleh Tunku Mahkota Ismail menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila memaparkan Johor Darul Ta’zim (JDT) satu-satunya kelab dari Malaysia pernah menjuarai kejohanan itu.
Carta yang dikeluarkan AFC itu menyenaraikan semua juara pertandingan sejak 2004 melibatkan kelab dari Syria, Kuwait, Bahrain, Iraq, Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu dan Australia, namun hanya logo JDT bagi edisi 2015 mewakili Malaysia dalam senarai berkenaan.
Kejayaan JDT menjuarai kejohanan Asia itu pada 2015 terus kekal sebagai pencapaian terbesar kelab bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa setakat ini.
Malah, selepas hampir sedekad, masih belum ada kelab tempatan lain yang berjaya mengulangi pencapaian tersebut.
Perkongsian itu turut dilihat sebagai simbol konsistensi Harimau Selatan di pentas Asia ketika banyak kelab tempatan lain masih bergelut mencari kestabilan dari sudut pengurusan, kewangan dan prestasi. – MYNEWSHUB


