JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan mengharungi empat perlawanan sepanjang November 2026, termasuk tiga aksi di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang kelab dari Korea Selatan, Vietnam dan Thailand.
Berdasarkan jadual yang dikongsikan Johor Southern Tigers, skuad Harimau Selatan akan memulakan cabaran November dengan menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Korea Selatan pada 3 November.
Perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Jeonju World Cup, Korea Selatan pada pukul 6 petang waktu Malaysia.
Seterusnya, JDT akan kembali beraksi di laman sendiri apabila menerima kunjungan DPMM FC pada 8 November, pukul 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim.
Selepas itu, Harimau Selatan dijadual bertandang ke Vietnam untuk berdepan Cong An Ha Noi FC pada 19 November.
Pertembungan berkenaan akan berlangsung di Stadium Hang Day pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia.
JDT kemudian akan meneruskan saingan ACLE dengan satu lagi aksi di tempat lawan menentang Ratchaburi FC dari Thailand pada 24 November.
Perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Ratchaburi pada pukul 8.15 malam waktu Malaysia.
Daripada empat perlawanan yang dijadualkan sepanjang November, tiga daripadanya berlangsung di luar negara, manakala hanya satu aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Jadual itu menyaksikan JDT berdepan cabaran perjalanan dan persiapan pasukan dalam usaha meneruskan momentum di pentas domestik serta Asia.
Bagaimanapun, jadual perlawanan berkenaan tertakluk kepada sebarang perubahan oleh pihak penganjur. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Johor Southern Tigers


