ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan dalam saingan bola sepak tempatan apabila mengesahkan kemaraan ke pentas final Piala FA buat kali kelima berturut-turut selepas membelasah DPMM FC 6-1, malam tadi.
Kemenangan bergaya pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara dengan agregat 8-1, sekali gus membuka peluang mempertahankan kejuaraan yang disandang.
JDT yang membawa kelebihan 2-0 daripada perlawanan pertama membuka jaringan menerusi tandukan Joao Figueiredo pada minit ke-27.
DPMM FC bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Jordan Murray pada minit ke-49, namun kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila JDT kembali menguasai permainan.
Manuel Hidalgo meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-59 sebelum Oscar Arribas dan Jairo masing-masing menambah jaringan pada minit ke-64 dan ke-66.
Pemain muda, Muhammad Daniesh Amirruddin turut mencatat nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87.
Marcos Guilherme kemudian melengkapkan pesta jaringan Harimau Selatan pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan besar 6-1.
Kejayaan itu membuktikan JDT terus menjadi kuasa dominan dalam saingan Piala FA apabila berjaya melangkah ke pentas final untuk kali kelima berturut-turut sejak 2022.
Menerusi hantaran di media sosial, Johor Southern Tigers turut meraikan kejayaan berkenaan dengan ungkapan “THE FINAL IS CALLING!” yang menggambarkan keterujaan pasukan menjelang aksi kemuncak.
JDT bakal berdepan Kuching City FC pada final 16 Januari depan selepas wakil Sarawak itu menyingkirkan Selangor FC dengan kemenangan agregat 3-2.
Pertembungan berkenaan bakal menjadi medan buat Harimau Selatan meneruskan penguasaan dan menambah satu lagi trofi kejuaraan dalam koleksi gemilang kelab itu. – MYNEWSHUB


