Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa pihaknya menerima aduan kira-kira 800 pemilik tanah di Pulau Pinang yang kini berdepan dengan kenaikan kadar cukai termasuk kenaikan sehingga 3,000 kali ganda.
Beliau mendakwa, aduan itu diterima oleh pejabat Parlimen beliau di Bagan serta pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beliau di Air Putih.
“Saya memberi jaminan kepada semua pemilik tanah terjejas bahawa pejabat saya akan terus dibuka dan sedia membantu mereka membuat rayuan terhadap kenaikan cukai tanah termasuk membantu mengisi borang rayuan.
“Sehingga kini, kedua-dua pejabat saya telah membantu sehingga 800 pemilik tanah,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Pertikaman lidah antara Guan Eng dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang semakin tegang sejak beberapa minggu lalu.
Guan Eng mendakwa rakyat Pulau Pinang tidak akan menyokong Kon Yeow sekiranya tahu cukai tanah di negeri itu akan dinaikkan, namun Kon Yeow menolak dakwaan beliau tidak peka terhadap isu rakyat.
Terdahulu, Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook mahu mengadakan satu pertemuan untuk beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kata beliau, ia bagi mencari penyelesaian yang memuaskan berhubung kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang pada tahun ini yang menjadi pertikaian hangat, dengan sebahagiannya meningkat lebih daripada 3,000 kali ganda.
Dakwanya, sejak cadangan kenaikan cukai tanah itu dibangkitkan tahun lalu, beliau telah menggunakan semua saluran dalaman bersama kerajaan negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka.
“Sehingga pertemuan antara kami bertiga diadakan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan awam atau mengadakan sidang media berhubung isu kenaikan mendadak cukai tanah ini termasuk bagi pihak pemilik tanah yang terjejas akibat kenaikan yang melampau,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


