KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan bagi membantu menyelesaikan urusan wang jaminan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, urusan jaminan Najib kini selesai hasil sokongan dan sumbangan orang ramai yang bersama-sama membantu meringankan beban keluarga bekas Presiden UMNO itu.
“Syukur Alhamdulillah, selesai urusan jaminan DS Najib Razak. Saya mewakili UMNO Bahagian Subang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan serta memberikan sokongan dan dokongan berterusan,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Armand Azha menyifatkan solidariti yang ditunjukkan itu sebagai bukti nyata semangat setiakawan dalam perjuangan UMNO yang tidak pernah luntur meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Menurutnya, perbezaan pandangan, kedudukan dan tanggungjawab tidak seharusnya menjadi penghalang untuk ahli parti terus bersama ketika rakan seperjuangan menghadapi kesusahan.
“Kita mungkin berbeza pandangan, berbeza kedudukan dan memikul tanggungjawab yang berbeza, tetapi apabila sahabat seperjuangan berdepan kesusahan, kita tetap berdiri bersama,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya sebuah keluarga besar yang dibina berasaskan persaudaraan, kesetiaan, pengorbanan dan semangat kebersamaan.
Katanya, semangat setiakawan menjadi kekuatan parti kerana ahli UMNO tidak meninggalkan sahabat ketika susah atau melupakan jasa ketika senang.
Armand Azha turut mendoakan agar Najib dan keluarganya terus dikurniakan kesihatan, kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi segala cabaran.
“Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala jasa baik, pengorbanan dan sumbangan anda semua.
“UMNO bersatu, setiakawan dijunjung, perjuangan diteruskan. Terima kasih Malaysia. Terima kasih keluarga besar UMNO,” katanya. – MYNEWSHUB


