KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah memaklumkan sahabatnya, Joy Reyzal ditahan polis petang semalam susulan hantaran di media sosial berhubung isu Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Menurut beliau, Joy Reyzal yang juga anggota pasukan media sosial DAA (Dr Armand Azha) ditahan di kediamannya di Putrajaya untuk siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.
Katanya, penahanan itu dipercayai berkaitan penulisan dan perkongsian Joy Reyzal di Facebook yang mempertahankan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
“Saya menghormati pihak polis, saya menghormati apa yang telah berlaku dan sebagainya. Sebagai salah seorang sahabat, sebagai salah seorang ketua kepada saudara Joy Reyzal, saya ingin maklum kepada beliau, ‘don’t worry brother’, kita telah menghantar lawyer untuk mempertahankan beliau.
“‘You are not alone, we are all with you’. Tim DAA akan sentiasa berada di belakang beliau,” katanya menerusi satu kenyataan video.
Armand Azha berkata, beliau turut memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin.
Menurutnya, Megat Zulkarnain turut menyatakan sokongan dan mahu memastikan tiada anggota jentera berasa keseorangan apabila berdepan tindakan undang-undang.
“Saya sedang mengikuti kes ini secara dekat. Insya-Allah pagi ini juga saya akan berhubung dengan pasukan peguam yang akan bersama-sama beliau,” katanya.
Armand Azha turut meminta rakan-rakan seperjuangan mendoakan agar Joy Reyzal diberikan kekuatan sepanjang menghadapi proses undang-undang.
“Kita semua berdiri teguh bersama beliau dalam apa jua keadaan susah dan senang. ‘No one will be left behind’. Kita akan terus bersama anda Brother Joy. ‘Don’t worry’, saya akan mengikuti kes anda secara dekat kerana anda sahabat saya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Armand Azha


