KUALA LUMPUR – Bekas isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 65, dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian Allahyarhamah dimaklumkan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi hantaran di media sosial.
Dengan penuh rasa dukacita, Mohamad Nizar menzahirkan penghargaan terhadap segala kasih sayang, pengorbanan dan doa ibunya sepanjang hayat.
“Terima kasih, bonda atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hayatmu. Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosamu, merahmatimu dan menempatkanmu dalam kalangan penghuni Syurga Firdaus.
“Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda selamanya,” katanya.
Allahyarhamah merupakan ibu kepada tiga anak hasil perkahwinannya dengan Najib iaitu Mohamad Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.
Sementara itu, laman Facebook rasmi Najib Razak turut mengesahkan pemergian Allahyarhamah menerusi satu kenyataan yang memaklumkan beliau pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup bekas Perdana Menteri itu.
Menurut kenyataan tersebut, Najib yang kini menjalani hukuman penjara tidak dapat bersama keluarga pada saat menyedihkan berkenaan.
“Walaupun Dato’ Sri Najib kini berada dalam keadaan yang tidak memungkinkan beliau bersama keluarga pada saat yang menyedihkan ini, ingatan dan doa beliau sentiasa mengiringi anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarhamah, menerima segala amal ibadahnya serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. – MYNEWSHUB


