TAIPEI – Taiwan mengesahkan pihaknya menangguhkan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.
Memetik laporan Taipei Times, Kementerian Luar Taiwan mengesahkan keputusan itu dibuat selepas Anwar menyatakan Taiwan merupakan sebahagian daripada China.
Jurucakap kementerian berkenaan, Hsiao Kuang-wei berkata, penangguhan rundingan itu bertujuan melindungi kedaulatan, keselamatan ekonomi serta hak pelabur Taiwan.
Menurutnya, kementerian itu sebelum ini sudah menyuarakan kebimbangan bahawa kenyataan Anwar boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, Taiwan masih meneruskan komunikasi dengan Malaysia dan berharap hubungan pelaburan serta kepercayaan bersama yang telah lama terjalin dapat membuka ruang untuk rundingan disambung semula.
Hsiao berkata demikian dalam sidang media di Taipei semalam ketika mengulas laporan Nikkei Asia pada Isnin mengenai penangguhan rundingan perdagangan dua hala yang dijadual berlangsung pada akhir Oktober lalu.
Terdahulu, Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos menyatakan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengecam China sekiranya menggunakan kekerasan untuk menyatukan Taiwan, Anwar membuat perbandingan dengan keadaan sekiranya sebuah negeri di Malaysia cuba memisahkan diri.
Kenyataan itu mendapat bantahan Kementerian Luar Taiwan yang mendakwa Anwar seolah-olah menggambarkan Taiwan sebagai wilayah pemisah China dan mewajarkan pendirian Beijing mengenai penggunaan kekerasan.
Menurut Taipei Times, wakil industri turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan ketegangan politik itu menjejaskan pelaburan semikonduktor Taiwan di Malaysia, khususnya selepas beberapa syarikat teknologi Taiwan memperluas operasi mereka di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Laman Web Berita Taipei Times


