KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa masyarakat Cina berhenti mempertahankan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata atas alasan tiada pilihan politik lain.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau yang kini menyertai parti BERSAMA berpandangan bahawa sudah tiba masanya masyarakat Cina menilai semula sokongan mereka terhadap PH dan Anwar demi masa depan negara serta generasi akan datang.
“Sudah tiba masanya masyarakat Cina berhenti memujuk diri untuk terus mempertahankan PH dan Anwar atas alasan tiada pilihan lain. Kita perlu memikirkan masa depan negara dan generasi akan datang,” katanya.
Chean Chung turut mendakwa PH kini semakin kehilangan kepercayaan rakyat, ketika UMNO pula dilihat mula mendekati PAS.
“Hari ini UMNO tengah berjinak-jinak dengan PAS, dan rakyat sedar PH sudah tidak boleh lagi dipercayai,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan siapakah pemimpin politik yang benar-benar berani menyuarakan kepentingan rakyat dalam keadaan politik negara ketika ini.
“Siapa lagi yang betul-betul berani bersuara untuk rakyat?” soalnya.
Dalam hantaran sama, Chean Chung turut membangkitkan persoalan mengenai masa depan agenda reformasi yang selama ini menjadi perjuangan utama Anwar dan PH.
“Masihkah rakyat Malaysia harus terus bergantung kepada Anwar, walaupun laungan reformasi semakin luntur dan menjadi sindiran kepada diri-sendiri?” katanya.
Terdahulu, beliau membangkitkan tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan sebagai menteri bagi mengkritik Anwar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lee Chean Chung


