KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jasa seseorang individu walaupun selama ratusan tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan perbuatan rasuah dan penyelewengan harta rakyat serta negara.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sikap berkompromi dengan rasuah atas alasan mengenang jasa seseorang adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
“Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara. Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan bahawa sikap bertoleransi terhadap kejahatan merupakan antara perkara yang merosakkan masyarakat.
“‘Tolerance for evil’ inilah yang merosakkan kita. Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara,” tegasnya.
Dalam poster yang beliau muat naik pula menyebut: “Saya selalu peringatkan apa yang pernah disebut pemimpin Indonesia, Muhammad Natsir sebagai budaya permissiveness. Semua okey. Rosak sikit, okey. Curi sikit, okey. Sikit berapa? Bilion, okey. Jadi, this tolerance for evil yang merosakkan kita”
Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak menamakan mana-mana individu secara khusus dalam hantaran berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


