KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpandangan bahawa umat Islam yang membantu membayar denda RM50 juta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (DSNR) adalah berpahala.
Menurut beliau, bantuan berkenaan bukan bermaksud menyokong perbuatan salah guna wang, sebaliknya menyokong sistem pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang diiktiraf syarak.
“Muslim bantu bayar 50j utk DSNR adalah berpahala. Ia bukan sokong sakau. Ia menyokong sistem pengampunan Agong yang diakui syarak,” katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.
Nik Abduh yang juga Ahli Dewan Negara dan anak kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengulas lanjut perkara berkenaan menerusi satu lagi hantaran hari ini.
Beliau berpandangan bahawa bukan sahaja sumbangan kewangan, malah sebarang tindakan dan usaha untuk memudahkan kesukaran Najib mendapatkan haknya yang dibenarkan turut dianggap berpahala.
“Bukan hanya derma, malah sebarang tindakan dan usaha memudahkan kesukaran DSNR memperoleh haknya yang dibenarkan adalah berpahala,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nik Mohamad Abduh


