KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa pelaksanaan kuasa perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.
Seri Paduka Baginda bertitah, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda seperti yang keluarkan oleh Istana Negara hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya membayar denda RM50 juta.
“Perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau,” titah baginda. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


