KUALA LUMPUR – Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mempersoalkan kedudukan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Datuk Seri Najib Razak bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Chegubard membangkitkan janji Setiausaha Agung DAP itu untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet sekiranya Najib dibenarkan menjalani tahanan rumah.
“Najib Razak dah selesaikan pembayaran RM50 juta dan akan pulang ke rumah untuk penjara di rumah,” katanya.
Chegubard kemudian mempersoalkan sama ada Anthony Loke akan menunaikan janjinya seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Anthony Loke Siew Fook kena letak jawatan seperti dijanji, apa lagi alasan nak diberikan?” soalnya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan pendirian DAP terhadap Najib, khususnya dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu ditolak pengundi bukan Melayu terutama masyarakat Cina.
Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi medan untuk menilai reaksi pengundi terhadap pendirian DAP berhubung isu berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Che GuBard


