SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa beliau pernah merancang projek tebatan banjir dikenali sebagai Canal City yang mampu mengelakkan Shah Alam daripada dilanda banjir besar untuk tempoh 100 tahun, namun projek itu dibatalkan selepas pertukaran kerajaan negeri.
Menurutnya, lebih malang apabila tanah yang diperuntukkan bagi projek berkenaan kemudiannya dijual kepada pihak pemaju.
“Saya telah merancang projek tebatan banjir dengan membina satu terusan sepanjang 18 kilometer menghubungkan dua sungai, iaitu Sungai Klang dengan Sungai Langat.
“Projek ini diberi nama projek tebatan banjir Canal City. Kajian terperinci telah dibuat dan ia boleh mengelakkan Shah Alam daripada banjir besar untuk tempoh seratus tahun.
“Malangnya ia telah dibatalkan oleh kerajaan PKR (Pakatan Rakyat). Lebih malang lagi tanahnya telah dijual kepada pihak pemaju,” dakwanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mohamad Khir menjelaskan, projek itu turut melibatkan dua tasik lombong sedia ada di Shah Alam dan Kuala Langat yang berfungsi sebagai takungan serta pengimbang paras air sebelum dialirkan ke laut apabila air surut.
Terdahulu, katanya, kedudukan Shah Alam yang lebih rendah berbanding kawasan sekitarnya menyebabkan bandar raya itu terdedah kepada banjir, terutama ketika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air laut pasang besar.
Beliau berkata, pembangunan pesat di Sungai Buloh, Rawang dan Petaling Jaya turut meningkatkan aliran air ke kawasan rendah termasuk Kampung Melayu Subang, Batu Tiga dan Sri Muda.
Menurutnya, tanpa pembinaan sistem takungan dan laluan alternatif untuk mengalirkan air, Shah Alam akan terus berdepan risiko banjir yang semakin kerap.
“Selagi kerajaan tidak menyediakan jalan keluar air selain sungai sedia ada, Shah Alam akan banjir dan kekerapannya akan bertambah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mengkritik kerajaan negeri dan Kerajaan Madani yang didakwanya tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap penyelesaian masalah banjir berkenaan.
“Shah Alam dan banjir berpisah tiada,” sindirnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dr. Mohamad Khir Toyo



