KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan tindakan menangisi tragedi membabitkan pelajar bukan penyelesaian, sebaliknya langkah tegas perlu diambil bagi memastikan keselamatan murid di sekolah.
“Menteri menangis bukan penyelesaiannya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Mohamad Khir berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang pelajar perempuan di Yong Peng, Johor yang ditemukan tidak bernyawa di kawasan sekolah, selain membangkitkan kejadian lain yang menurutnya turut berlaku di Pahang.
Beliau meluahkan rasa sedih dan geram terhadap perkembangan berkenaan serta mempersoalkan tahap keselamatan sekolah sekiranya kejadian sedemikian terus berulang.
“Esok lusa tak tahu di sekolah mana lagi peristiwa yang sama berulang. Sekolah bukan lagi tempat selamat untuk kita pasrahkan anak-anak kita,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Khir menggesa kementerian menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan seragam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara bagi menangani kes serius membabitkan keselamatan pelajar.
Menurutnya, tindakan pantas perlu diambil bukan sahaja terhadap pelaku sekiranya berlaku kesalahan, malah pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan murid juga perlu dikenakan tindakan sekiranya terdapat asas undang-undang dan bukti berlaku kecuaian.
Beliau mendakwa kegagalan memastikan akauntabiliti boleh menyebabkan budaya lepas tangan dan saling menuding jari apabila sesuatu kejadian berlaku.
“SOP ini sangat penting untuk mengekang perkara ini daripada terus berlaku dan jadi lebih gawat dibincangkan di media sosial,” katanya.
Mengakhiri hantaran itu, Mohamad Khir menggunakan peribahasa: “Harapkan pegar, pegar makan padi. Sekolah ku kerajaan madani???” – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dr. Mohamad Khir Toyo


