KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dilaporkan akan membayar denda RM50 juta bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Media yang memetik sumber melaporkan, denda terbabit akan dibayar oleh wakil bekas Perdana Menteri itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.
Pengampunan bersyarat itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) terutama daripada parti DAP.
DAP malah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan pengurangan hukuman Najib Razak, dinyahklasifikasikan untuk pengetahuan.
Pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pula rata-rata menerima baik pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong tersebut. – MYNEWSHUB


