KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melahirkan kebimbangan pengurangan hukuman, pembayaran denda RM50 juta serta kemungkinan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak boleh dilihat seolah-olah satu ganjaran kepada pemimpin tertinggi yang telah disabitkan.
Beliau mendakwa konon persepsi sedemikian boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
“Kebimbangan saya ialah apabila hukuman dikurangkan, denda dibayar oleh parti dan tahanan rumah menyusul sebagai pilihan, kesan keseluruhannya boleh dilihat seolah-olah satu ganjaran kepada pemimpin tertinggi yang telah disabitkan.
“Persepsi itu boleh menghakis keyakinan rakyat bahawa undang-undang terpakai sama rata, tanpa mengira pangkat atau pengaruh. Itulah prinsip yang mesti kita pertahankan,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu Mujahid mendakwa, beliau menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang ringan atas dasar persahabatan mahupun kepartian.
“Saya berkongsi kebimbangan beliau susulan keputusan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak Datuk Seri Najib Razak,” dakwanya.
Untuk rekod, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak pada 18 September lalu bagi membolehkan rakyat menyalurkan sumbangan secara sukarela untuk membantu bekas Perdana Menteri itu menjelaskan denda RM50 juta.
Tabung berkenaan ditutup secara rasmi pada 6 November selepas UMNO mengumumkan jumlah sumbangan yang diterima telah mencapai sasaran dan pembayaran denda diselesaikan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Parti Amanah Negara


