KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta.
Menurut Anwar, walaupun hubungan persahabatan dengan Najib masih dihargai, perkara itu tidak seharusnya memberikan gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah membabitkan wang berbilion ringgit boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Tak apalah kalau UMNO itu keputusan UMNO, dia nak bayar RM50 juta, itu tak apa, itu kerja dia.
“Pada pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana sementara kita ada semangat persahabatan dengan Datuk Seri Najib, tapi itu tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Anwar turut mempersoalkan mesej yang ingin disampaikan kepada generasi muda sekiranya prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak dipertahankan dengan tegas.
“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan untuk membuat pembayaran tersebut merupakan hak UMNO dan pihaknya menghormati pendirian parti berkenaan.
Pada masa sama, Anwar berkata proses perundangan serta sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati berlandaskan prinsip Perlembagaan.
“Soal keputusan UMNO itu, itu hak mereka dan proses undang-undang kita hormat cara prosesnya ataupun dari segi keputusan Yang di-Pertuan Agong, itu kita hormat dari segi prinsip Perlembagaan.
“Pendapat saya, saya dah zahirkan,” katanya sebelum beredar bagi menghadiri mesyuarat. – MYNEWSHUB


