KUALA LUMPUR – Pengasas parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggugurkan semua menteri UMNO daripada Kabinet dan menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, langkah itu wajar diambil susulan permusuhan terbuka antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang kini dibawa ke pentas politik rakyat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Rafizi, keadaan tersebut berisiko melemahkan, malah melumpuhkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan apabila tiada lagi kesepakatan dalam keseluruhan jentera pentadbiran negara.
“Adalah wajar Datuk Seri Anwar Ibrahim menggugurkan menteri-menteri UMNO dari Kabinet dan membuang BN dari Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi mendakwa UMNO menguasai beberapa kementerian penting yang berkemungkinan tidak lagi bergerak seiring dengan arahan Perdana Menteri berikutan pertelingkahan politik antara kedua-dua parti.
Beliau turut merujuk tindakan Anwar semalam yang mencabar menteri UMNO untuk bertikam lidah dengannya dalam Kabinet ketika berkempen di Melaka.
Selain itu, Rafizi menjangkakan rombakan Kabinet susulan dakwaannya bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengosongkan jawatan berkenaan.
Katanya, perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang menjamin majoriti Anwar di Dewan Rakyat serta kerjasama politik dengan BERSATU dalam PRN Melaka turut perlu diambil kira.
Rafizi menegaskan tanggungjawab Perdana Menteri adalah memastikan semua kementerian bergerak seiring dalam mentadbir negara.
Menurutnya, jika Anwar gagal atau terus disanggah secara terbuka oleh menteri UMNO yang dilantiknya sendiri, beliau perlu berani memecat BN daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, langkah itu juga perlu disusuli pelaksanaan sebanyak mungkin reformasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) – MYNEWSHUB


