KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sangat kecewa selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Perkara itu didedahkan anaknya, Nooryana Najwa atau lebih dikenali dengan Yana menerusi hantaran di media sosial ketika berkongsi keadaan bapanya sebelum kembali ke Penjara Kajang.
“Yana tahu ramai mesti tertanya-tanya: Bagaimana keadaan DSN hari ini, sebelum beliau pulang ke Kajang? Kecewa. Sangat kecewa,” katanya.
Nooryana menjelaskan, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dibuat susulan pengampunan bersyarat yang menurutnya diberikan kepada Najib pada 18 September lalu bagi hukuman kes SRC International.
Katanya, pengampunan itu membolehkan bapanya menjalani baki hukuman SRC secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat ditetapkan.
Menurutnya, pasukan peguam kemudian memohon penangguhan hukuman 1MDB sementara rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes berkenaan didengar.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.
Nooryana berkata, sekiranya keputusan tersebut kekal, Najib perlu kembali ke penjara selepas tamat tempoh tahanan rumah SRC pada 23 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman 1MDB, melainkan terdapat perubahan melalui proses perundangan.
Beliau turut menegaskan keputusan mahkamah hari ini bukan bermakna rayuan utama Najib dalam kes 1MDB telah ditolak kerana proses tersebut masih berjalan secara berasingan.
Katanya, keputusan berhubung penangguhan hukuman itu juga boleh dicabar melalui rayuan dan pasukan peguam Najib akan mengambil langkah undang-undang seterusnya bagi mendapatkan pendengaran seawal mungkin.
“Jalan untuk kembali ke rumah mungkin panjang dan berliku, tetapi kami akan terus mengharunginya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Yana Najib


