PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula tengah malam esok, 6 November hingga 7 November 2026, bersempena sambutan perayaan Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun itu bermula pukul 12 tengah malam Jumaat dan berakhir pada pukul 11.59 malam Sabtu.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang akan ditanggung kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik.
“Diskaun ini melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta kenderaan Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)
Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan diskaun itu bersama syarikat konsesi lebuh raya bagi memastikan pengguna yang layak menerima manfaatnya.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disarankan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh berkenaan.
Pengguna juga dinasihatkan memastikan baki kad Touch ’n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju, menjaga jarak selamat serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memandu. – MYNEWSHUB


