KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Dr. RA Lingeshwaran memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pelaksanaan kemudahan Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok sempena Deepavali 2026 untuk penjawat awam beragama Hindu.
Beliau berkata, sambutan Deepavali tahun ini jatuh pada Ahad, 8 November, manakala Isnin, 9 November merupakan cuti umum gantian di negeri-negeri berkaitan.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada penjawat awam beragama Hindu dapat menikmati sepenuhnya kemudahan CTR Kelompok berikutan pertindihan tarikh perayaan dengan hari tidak bekerja.
“Demi kebajikan penjawat awam beragama Hindu, saya memohon perhatian Perdana Menteri agar pelaksanaan kemudahan CTR Kelompok sempena Deepavali 2026 diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media yang dikongsikan di media sosial semalam.
Lingeshwaran berkata, pertimbangan itu penting bagi memastikan golongan terbabit mempunyai ruang mencukupi untuk membuat persiapan menyambut perayaan bersama keluarga.
“Saya berharap permohonan ini mendapat pertimbangan positif demi kebajikan penjawat awam beragama Hindu, supaya mereka dapat membuat persiapan dan menyambut Deepavali bersama keluarga dengan lebih bermakna,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Lingesh RA


