RATCHABURI – Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang satu mata selepas terikat seri dengan Ratchaburi FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Thailand malam tadi.
JDT terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-36 selepas penjaga gol tuan rumah gagal mengawal kemas hantaran Joao Figueiredo.
Jaringan itu membolehkan skuad kendalian Xisco Munoz mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bagaimanapun, pada separuh masa kedua pemain Ratchaburi, Njiva Rakotoharimalala menjaringkan gol penyamaan di minit ke-56.
JDT terus memburu gol kemenangan menerusi beberapa percubaan Oscar Arribas, Nacho Mendez dan Stoichkov, namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan JDT menduduki tangga ketujuh saingan Zon Timur ACLE dengan lapan mata selepas lima perlawanan, manakala Ratchaburi mengumpul dua mata.
Harimau Selatan dijadualkan berdepan kelab Korea Selatan, Daejeon Hana Citizen pada 1 Disember ini. – MYNEWSHU


