Oleh Mynewshub
MENERIMA surat atau notis daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mungkin menimbulkan kebimbangan, namun pembayar cukai tidak perlu panik kerana ia tidak semestinya bermaksud mereka melakukan kesalahan.
Audit dan semakan percukaian merupakan prosedur biasa bagi memastikan ketepatan maklumat, ketelusan serta pematuhan undang-undang, bukannya bertujuan menghukum pembayar cukai.
Isu percukaian lazimnya timbul akibat perbezaan tafsiran undang-undang, klasifikasi pendapatan, kelayakan potongan perbelanjaan, tuntutan pengecualian cukai, kekurangan dokumen sokongan atau kesilapan teknikal ketika mengisi borang nyata cukai pendapatan.
Keadaan ini memberi peluang kepada pembayar cukai dan HASiL memperjelas fakta, mengemukakan bukti serta mencari penyelesaian adil, sekali gus membantu menambah baik garis panduan dan kefahaman masyarakat.
Pengurusan percukaian HASiL berpandukan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Pendapatan Petroleum 1967 dan Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
Selain itu, Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan memperincikan tatacara pemilihan dan pelaksanaan audit, hak pembayar cukai serta proses bantahan dan rayuan.
Jika audit menemukan isu, pembayar cukai akan dimaklumkan secara rasmi dan boleh mengemukakan bantahan bersama dokumen sokongan dalam tempoh ditetapkan untuk penelitian semula sebelum keputusan dimuktamadkan.
Bagaimanapun, jika tiada bantahan, Notis Taksiran akan dikeluarkan berdasarkan penemuan audit dan dianggap telah dipersetujui.
Pembayar cukai yang tidak bersetuju dengan Notis Taksiran atau Notis Pemberitahuan Tidak Kena Cukai pula boleh mengemukakan rayuan rasmi berdasarkan subseksyen 97A(2), seksyen 99 hingga 102 Akta Cukai Pendapatan 1967 serta peruntukan berkaitan.
Bagi melancarkan penyelesaian, pembayar cukai digalakkan bertindak segera, memberikan kerjasama, menyediakan maklumat tepat dan dokumen lengkap serta mendapatkan nasihat profesional jika perlu.
Sebelum mengambil tindakan undang-undang, mereka juga disarankan berhubung terus dengan pegawai pengendali kes melalui surat rasmi, perbincangan atau saluran pertanyaan HASiL bagi mencari penyelesaian lebih cepat dan berkesan.
HASiL turut menekankan komunikasi yang jelas, sopan dan profesional, selain menyediakan seminar, bengkel serta panduan percukaian untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab pembayar cukai.
Pendekatan terbuka dan sistematik ini bertujuan melindungi hak semua pihak, memastikan penaksiran yang adil serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap integriti pentadbiran percukaian negara.
Justeru, isu percukaian bukan sesuatu yang perlu digeruni, sebaliknya peluang membetulkan fakta, menyelesaikan kekeliruan dan memperkukuh pematuhan undang-undang.
Kerjasama antara HASiL dan pembayar cukai amat penting bagi memastikan sistem percukaian kekal telus, konsisten dan berkesan demi kesejahteraan ekonomi negara. – MYNEWSHUB



