KUALA PILAH – Datuk Ismail Lasim kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan manakala enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu dilantik hari ini, sekali gus membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali dibentuk selepas berdepan kemelut hampir empat bulan.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melantik enam EXCO berkenaan pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Ismail mengumumkan pelantikan itu membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Repah, Koh Kim Swee (MCA).
Turut dilantik ialah ADUN Gemas daripada Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang daripada PAS, Abdul Fatah Zakaria.
Ismail mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang diperkenankan pelantikan sebagai EXCO serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas perkenan baginda.
Sementara itu, Tuanku Muhriz mengingatkan barisan EXCO yang baharu dilantik supaya sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing.
Baginda turut mengingatkan mereka supaya tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan, selain mahu kemelut yang berlaku di negeri itu sebelum ini dijadikan pengajaran. – MYNEWSHUB


