KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata pegawai SPRM meminta pembantunya hadir ke pejabat suruhanjaya itu pagi ini bagi membantu siasatan isu pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
“KLSCAH: Ya saya boleh mengesahkan tiga pegawai SPRM datang ke pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantu saya hadir ke SPRM pagi ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut pembantu Hannah dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung kontroversi lanjutan pajakan tanah KLSCAH.
Isu itu timbul selepas premium tanah KLSCAH bagi pajakan 99 tahun ditetapkan RM1,000, berbanding anggaran awal kira-kira RM4.6 juta.
Hannah sebelum ini menjelaskan kadar nominal itu diluluskan selepas permohonan baharu menukar kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi, dengan syarat pembangunan komersial tidak dibenarkan.
Beliau turut berkata keputusan dibuat Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
KLSCAH diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan sejak 2007. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Hannah Yeoh


