KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menolak dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bahawa Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Kamar Khas Dewan Rakyat dengan rasa puas hati selepas mendengar penjelasan berhubung premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Dalam satu tulisan yang disiarkan hari ini, Awang yang turut membangkitkan isu itu dalam sesi Kamar Khas pada 23 November berkata, gambar Ahli Parlimen pembangkang tersenyum ketika keluar dari kamar tidak boleh dijadikan bukti bahawa semua persoalan telah terjawab.
“Senyuman bukan persetujuan, apatah lagi pengesahan terhadap keputusan pentadbiran kerajaan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada hantaran Facebook Hannah yang menyifatkan beliau paling puas apabila Ahli Parlimen pembangkang keluar kamar dengan gembira kerana isu tersebut sudah jelas kepada mereka.
Awang mengakui beberapa penjelasan telah diberikan, termasuk kelulusan oleh Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), pertukaran kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi serta status warisan kebangsaan bangunan itu sejak 2007.
Namun menurutnya, menjelaskan siapa yang meluluskan keputusan tidak sama dengan menjelaskan kewajaran keputusan itu sepenuhnya.
Beliau mempersoalkan kaedah penilaian yang menghasilkan anggaran asal RM4.67 juta, bagaimana pertukaran syarat tanah membawa kepada premium RM1,000, selain meminta minit mesyuarat, formula dan syarat kelulusan didedahkan kepada umum tertakluk kepada undang-undang.
Awang turut membangkitkan ucapan Hannah pada majlis makan malam ulang tahun ke-103 KLSCAH pada 14 November yang menurutnya meraikan kejayaan itu sambil memberi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, tanpa menyebut KSN.
Beliau turut menggesa Hannah membentangkan jadual perbandingan tujuh pertubuhan lain yang dikatakan menerima premium nominal serupa, termasuk keluasan tanah, status warisan dan syarat pembangunan.
Dalam pada itu, Awang menegaskan beliau tidak mempertikaikan usaha memelihara bangunan warisan semua kaum, namun budi bicara pentadbiran melibatkan aset awam perlu dijelaskan secara telus.
“Kredit politik tidak boleh diraikan tanpa kesediaan memikul tanggungjawab menjawab soalan rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


