KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Menteri Dalam Negeri supaya meminta pegawainya mencari nombor telefon Tony Pua bagi membantu siasatan berhubung penyiaran minit mesyuarat pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, Majlis Peguam sendiri belum memperoleh minit mesyuarat berkenaan daripada Jabatan Peguam Negara, namun Tony Pua sudah memperolehnya dan menyiarkannya di Facebook.
Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri sudah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat bagaimana Tony Pua memperoleh dokumen berkenaan, namun mendakwa sudah 24 jam berlalu tanpa sebarang penjelasan.
“Minta pegawai cari nombor telefon Tony Pua. Rasanya tak susah kot. Atau boleh juga berpaling ke kanan dalam Parlimen dan tanya Menteri Digital atau Menteri Wilayah,” sindirnya menerusi hantaran di media sosial.
Ahmad Fadhli turut menyindir supaya Tony Pua dihubungi menerusi panggilan telefon atau WhatsApp menggunakan bahasa Melayu, Inggeris atau Mandarin sekiranya perlu termasuk mendapatkan bantuan ChatGPT untuk terjemahan.
Katanya, Tony Pua kemudian boleh diminta hadir ke balai polis untuk diambil keterangan dan ditanya siapa yang memberikan dokumen tersebut kepadanya.
Tambahnya, individu yang memberikan dokumen berkenaan pula perlu dipanggil bagi membantu siasatan untuk menentukan sama ada dokumen itu telah dinyahrahsia secara sah sebelum diserahkan kepada Tony Pua.
Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang dan hasil siasatan hendaklah dimaklumkan kepada rakyat tanpa perlu menunggu sehingga penggal Parlimen berakhir.
“Itu sahaja. Tak perlu tubuh jawatankuasa khas pun rasanya. Sekian, tunjuk ajar ini diberikan secara percuma,” sindirnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


