KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menggesa pengundi Melaka yang tidak berpuas hati dengan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani tahanan rumah supaya meluahkan rasa tidak puas hati mereka melalui peti undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Gesaan itu mendapat respons sinis daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mohd Zaid dalam hantaran itu menyindir Anthony Loke dengan menyatakan pengundi Melaka sememangnya akan menunjukkan perasaan mereka terhadap Najib tanpa perlu diingatkan oleh DAP.
“Encik Loke daripada DAP yang terkenal menyeru pengundi Melaka supaya menunjukkan perasaan mereka mengenai tahanan rumah Datuk Najib pada Sabtu ini, hari pengundian.
“Saya pasti mereka akan berbuat demikian. Tidak perlu mengingatkan mereka,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Anthony Loke membuat gesaan itu ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan di Ayer Keroh malam tadi.
“Saya pasti ramai orang tidak dapat menerima hakikat bahawa Najib boleh menjalani hukumannya secara tahanan rumah,” katanya seperti dilaporkan media. – MYNEWSHUB


